hafiz razak

Tuesday, May 4, 2010

Kewangan Islam turut tarik minat masyarakat bukan Islam

MANAMA 4 Mei - Pertumbuhan kewangan Islam seluruh dunia yang berterusan dan tanpa gangguan telah menarik minat besar di peringkat antarabangsa, bukan sahaja daripada negara-negara Islam, malah juga daripada masyarakat bukan Islam, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata, kewangan Islam terus memperlihat daya tahannya dalam persekitaran kewangan antarabangsa semasa yang mencabar.

"Pusat-pusat kewangan seperti London, Perancis, Hong Kong dan Singapura meningkatkan usaha untuk menggalakkan lagi perkembangan kewangan Islam di pusat-pusat kewangan masing-masing," katanya dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Gabenor Datuk Mohd Razif Abd. Kadir pada Jamuan Malam Malaysia Showcase di ibu kota Bahrain ini, Isnin.

Pameran Malaysia Showcase diadakan sempena Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) Ketujuh yang bermula esok.

Zeti berkata, peluasan kewangan Islam di peringkat antarabangsa juga menyaksikan jalinan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Asia dan Timur Tengah dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

"Kemunculan pusat-pusat kewangan baharu di Asia dan Timur Tengah serta sifatnya yang semakin bersepadu memperkukuh asas bagi kewujudan Laluan Sutera baharu," tegasnya.

Di samping itu, ia juga telah membuka dan memperluas potensi ini kepada ekonomi-ekonomi maju bagi memupuk hubungan kewangan yang lebih teguh dengan wilayah-wilayah pertumbuhan Asia dan Timur Tengah, kata gabenor bank pusat itu.

Beliau berkata, meskipun kewangan Islam telah memperlihatkan daya tahannya dalam tempoh-tempoh mencabar, namun usaha berterusan sedang dijalankan untuk meningkatkan lagi daya tahan itu dan mempermudah pengurusan mudah tunai berkesan merentasi sempadan.

Bank Pembangunan Islam, contohnya, mengadakan kerjasama dengan IFSB dan membentuk dua pasukan petugas — Pasukan Petugas mengenai Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global, serta Pasukan Patugas Peringkat Tinggi mengenai Pengurusan Mudah Tunai.

Melalui Pasukan Petugas mengenai Kestabilan Kewangan, ia telah mewujudkan satu Forum Kestabilan Kewangan Islam yang diadakan dua kali setahun. Forum ini merupakan platform strategik bagi dialog membina untuk memupuk kestabilan kewangan.

Zeti berkata, satu dimensi penting kewangan Islam bukanlah hanya peranannya yang berpotensi dan kerelevanannya dalam menyumbang kepada kestabilan kewangan dunia, malah juga potensinya untuk menyokong keseluruhan pertumbuhan ekonomi global.

Lebih penting lagi, ia juga merupakan saluran yang amat perlu bagi mewujudkan hubungan yang lebih erat di kalangan ekonomi-ekonomi baru, bukan sahaja bagi meningkatkan perdagangan dan pengaliran pelaburan malah juga pengaliran kewangan antarabangsa antara negara-negara.

Kata Zeti, penggemblengan usaha ini akan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan antarabangsa dan kemakuran ekonomi dunia. - Bernama

No comments:

Post a Comment