hafiz razak

Wednesday, December 30, 2009

KRONOLOGI SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W

Perjalanan sirah Nabi Muhammad S.A.W menempuh satu tempoh perjalanan yang panjang. Sejak dari peristiwa sebelum kelahiran Nabi diatas muka bumi lagi telah tercatat catatan sirah perjalanan Baginda. Sirah baginda mesti dikaji bagi setiap muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin islam itu semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam itu satu bersatu. Dengan tertulisnya kronologi sirah Rasulullah ini sedikit sebanyak membantu kita memahami peribadi Nabi Muhammad menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri. Selain itu memberi gambaran sirah Nabi Muhammad sejak dilahirkan sehingga Baginda wafat seterusnya membentangkan kepada kita perjalanan hidup Nabi Muhammad mengikut perkiraan tahun masihi dan hijrAH.

1. Tahun 569 Masihi : Meninggalnya Ayah Baginada, Abdullah
Pada tahun ini bapa Baginda Nabi Muhammad telah meninggal dunia, Baginda adalah anak yatim ketika dilahirkan, ayahandanya wafat ketika baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya Aminah.

2. Tahun 570 Masihi, Tanggal kelahiran Nabi Muhammad (perkiraan), 20 April
Baginda dilahirkan pada tahun gajah, iaitu tahun dimana Abrahah al-Asyram telah melanggar masuk ke kota Mekkah dalam percubaan hendak menawan dan memusnahkan Kabbah. Mengikut pendapat yang paling hamper dengan kenyataan, baginda telah dilahirkan pada hari isnin tanggal 12 haribulan Rabi’ul Awal.

3. Tahun 576 Masihi, Meninggalnya ibu Baginda, Aminah
Bondanya telah wafat ketika baginda berusia 6 tahun. Ini membawa baginda menjadi seorang yatim piatu. Dengan itu maka datuknya pula yang mengambil peranan mendidik Rasulullah tetapi tidak berape lame kemudian datuknya pula meninggal dunia, masa itu baginda berusia 8 tahun dan dipelihara oleh bapa saudaranya pula Abu Talib.

4. Tahun 583 Masihi, Perjalanan pertama ke negeri Syam.
Pada usia Nabi 12 tahun bapa saudaranya Abu Talib telah membawanya bersama-sama ke negeri Syam ( Syria ) ketika mereka sampai ke tempat yang bernama Basra mereka telah bertemu dengan seorang paderi yang bernama “Buhaira” seorang yang bijak mengenai kitab injil dan agama Nasrani (Kristian) beliau memerhatikan Nabi Muhammad dan bertanya kepada Abu Talib adakah budak yang bersama kamu adalah anakmu, maka jawab Abu Talib ia adalah anakku, oleh kerana Abu Talib terlalu menyayangi Nabi Muhammad maka beliau telah mengakui Nabi adalah anaknya. Lalu tertanya Buhaira lagi, mustahil ini adalah anak kamu sedangkan bapanya telah wafat, lalu barulah Abu Talib mengakui bahawa Nabi Muhammad bukan anak nya tetapi adalah anak saudaranya dan memberitahu bahawa Nabi adalah seorang yatin piatu, paderi itu menambah, memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam injil dan disini ingin saya member nasihat iaitu supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah ternampak oleh puak-puak orang yahudi mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini dimasa hadapan nanti akan membawa suatu khabar yang besar dan agung, maka Abu Talib pun bersegera pulang ke Mekah bersam Rasulullah s.a.w.

5. Tahun 595 Masihi, Bertemu dan menikah dengan Khadijah
Mengikut apa yang diceritakan oleh Ibnu Athir dan Ibnu Hisyam bahawa Khadijah adalah seorang saudagar yang mahsyur pada masa itu, ramai orang-orang arab di masa itu meminjam sebahagian daripada hartanya itu sebagai modal perniagaan mereka.
Bila mana khadijah mendengar khabar tentang Nabi Muhammad yang mulia dan akhlaq yang terpuji itu lalu ia terus mempelawa Nabi Muhammad supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup member untung lebih dari apa yang pernah diberikan oleh orang lain. Dalam usaha menjalankan urusan perniagaan barangan Khadijah itu, Baginda diiringi oelh seorang budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah. Tawaran itu telah diterima oleh Nabi dengan rea hati dan ikhlas. Baginda terus belayar bersama budak suruhan yang bernama Maisarah itu ke negeri Syam. Dalam perniagaan itu Baginda telah mendapat untung yang banyak dana berlipat ganda. Bila baginda pulang menemui Khadijah dengan keuntungan yang diperolehi, Baginda terus menyerahkan hasil keuntungan tersebut kepada Khadijah. Semasa di Syam, Maisarah telah melihat dengan mata kepalanya sendiri dan tertawa dengan budi pekerti baginda Nabi Muhammad yang mulia dan segala-galanya it uterus diceritakan kepada Khadijah. Khadijah sungguh tertawa dengan sifat amanah dan budi pekertinya yang tinggi dan lebih menghairankan lagi ialah kelabaan dan kelebihan yang diperolehinya dengan berkat baginda.
Dengan perantaraan Nafsiah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada Nabi Muhammad untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi tlah disambut baik oleh Muhammad dan dengan tidak membuang masa, baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya Amru bin Asad. Maka perkahwinan pun dilangsungkan dengan selamatnya. Di kala itu Baginda berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun.

6. Tahun 610 Masihi,Wahyu pertama turun: Makkah
Daripad Aisyah Ummil Mu’minin dikhabarkan bahawa ia telah berkata :
Permulaan wahyu yang dimulakan kepada Rasulullah ialah mimpi yang baik lagi benar di dalam tidur, maka tiadalah junjungan bermimpi satu mimpi melainkan datangnya mimpi itu seperti cahaya subuh. Kemudian disukakan kepadanya berkhalwat berasing diri. Junjungan berkhalwat di Gua Hira’ dan beribadat didalamnya, iaitu beribadat didalam masa beberapa malam.
Malam itu ialah suatu malam di dalam bulan Ramadhan, bertepatan pula pada malam Lailatul Qadar, ketika Baginda sedang baring terdengar satu suara menggema datangnya yang mengatakan ‘Iqra’ lalu jawab nabi Muhammad aku tidak boleh membaca, keudia Baginda merasakan seperti orang mendakapnya, hamper sahaja Baginda lemas dalam dakapan dan kedengaran sekali lagi suara tersebut sehingga 3x diulangkan perkataan tersebut. Lalu Malaikat yang diperintahkan Allah untuk memimpin Muhammad terus membaca ayat Iqra tersebut.

7. Tahun 610 Masihi, Ditunjuk sebagai Nabi: Makkah
Sekembalinya nabi dari Gua Hira’ dalam keadaan ketakutan dan menggigil lalu Baginda meminta isterinya Khadijah untuk menyelimutkannya, lalu baginda menceritakan apa yang berlaku terhadapnya. Semasa Baginda sedang berehat, Khadijah pergi kerumah Waraqah bin Naufal anak bapa saudaranya untuk menceritakan apa yang berlaku kepada suaminya. Waraqah adalah seorang yang alim dan mempelajari Taurat dan Injil, lalu katanya setelah diceritakan oleh Khadijah yang dating pada nabi Muhammad adalah Malaikat Jibril dan sesungguhnya suamimu adalah seorang Nabi

8. Tahun 613 masihi, Memulai menyebarkan Islam kepada umum: Makkah
Pada tahun ini nabi Muhammad telah memulakan tugas yang dipertanggunjawabkan kepadanya iaitu berdakwah secara sulit. Ia dijalankan secara sulit agar kafir Quraisy tidak terperanjat dengan seruannya kerana mereka fanatik dengan penyembahan berhala.

9. Tahun 614 Masihi, Mendapatkan Pengikut:
Setelah usaha dakwah dilakukan secara sulit, maka terhasillah pengikut-pengikut nabi yang menerima seruan yang disampaikan nabi Muhammad,antara orang yang terawal menerima seruan nabi ialah :
• Sayyidatian Khadijah
• Ali bin Abi Talib
• Zaid bin Harithah
• Abu Bakar bin Quhafah
• Uthman bin Affan
• Al-Zubir bin Awwam
• Abdul Rahman Auf
• Saad bin Waqqas

10. Tahun 615 Masihi, Hijrah pertama ke Habsyah
Setelah Rasulullah sendiri melihat penyeksaan demi penyelsaan yang dilakukan oleh pihak Quraisy terhadap orang-orang Islam, Baginda sendiri tidak dapat melindungi mereka lalu Baginda sendiri mengemukalan cadangan agar mereka berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) kerana raja di Negara itu tidak kejam dan zalim. Antara mereka yang turut dalam penghijrahan tersebut ialah : Uthman bin Affan dan isterinya Ruqaiyah putrid Rasulullah, Abu Huzaifah berserta isterinya, Al-Zubir bin Al-Awwam

11. Tahun 619 Masihi, Tahun kesedihan: Khadijah dan Abu Thalib meninngal
Kemangkatan Siti Khadijah isteri Rasulullah dan Abu Talib bapa saudaranya di tahun kesepuluh selepas kebangkitan dan pengutusannya sebagai Rasul, merupakan saat yang paling pahit ditempoh oleh Rasulullah. Ibnu Sa’ad menceritakan: bahawa selepas sebulan lima hari dari kematian Khadijah maka Abu Talib pula turut wafat. Khadijah seperti mana yang diterangkan oleh Ibnu Hisyam adalah meneri kebenaran dan kepercayaan bagi Islam, di mana Rasulullah mengadu hal perihal dirinya, dan khadijahlah orang yang menghiburkan dan menghilangkan kedukaan Rasulullah, sedangkan Abu Talib pula adalah pembantu dan penolongnya membantu untuk menghalang pencerobohan kaumnya.

12. Tahun 620 Masihi,Isra’ dan Mi’raj
Dimaksudkan dengan isra’ disini ialah perjalanan yang mulia lagi bersejarah dari Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Al-Quds di Palastin, adapun Mi’raj pula ialah peristiwa naik kelapisan langit teringgi dimana Nabi Muhammad telah bertemu dengan Allah dan peristiwa itu berlaku dalam semalam sahaja.

13. Tahun 621 Masihi Bai’at Aqabah pertama
Islam mula berkembang di Madinah sekitar tahun ini, sekumpulan orang Ansar pun tiba seramai 12 orang lelaki bertemu di Al-Aqabah. Pertemuan ini dikenali sebagai Al-Aqabah Al-Ula atau Aqabah pertama. Perjanjian pun dimeterai seperti perjanjian wanita juga (perjanjian yang tidak melibatkan soal peperangan dan jihad) diantara mereka itu ialah :
• As’ad bin Zurarah
• Rafia’ bin Malik
• Ubadah bin Al-Samit
• Abu Al-Haitham bin Al-Tihan

14. Tahun 622 Masihi Bai’at Aqabah kedua
Menurut Muhammad bin Ishak yang diriwayahkan dari Kaab bin Malik katanya : kami telah berjanji dengan Rasulullah untuk bertemu di Al-Aqabah pada hari Tasriy. Selepas selesai kami mengerjakan Haji dan tepat pada malam yang telah kami janjikan itu, kami pun tidur bersama-sama keluarga dan barang-barang kami. Bila sampai sepertiga malam kami pun keluar dari kediaman menuju ke tempat yang dijanjikan untuk menemui Rasulullah. Keluar dengan perlahan-lahan bersembunyi seperti burung qata sehingga kami bertemu kesemua berjumlah 70 orang lelaki dan 2 orang perempuan keluarga kami iaitu Nasibah binti Kaab dan Asma’ binti Amru bin Adiy.

15. Tahun 622 Masihi, Hijrah ke Madinah (Awal hijrah )
Sokongan dan pertolongan yang diberikan penduduk Yathrib merupakan tamparan hebat yang cukup memalukan para pemimpin Quraisy di Mekah. Kejadian ini membuat mereka semakin menganiaya kaum muslimin yang berada di Mekah. Para sahabat yang semakin tidak tahan menanggung siksaan itu dating brtemu Nabi meminta izin untuk berhijrah. Akhirnya setelah berfikir beberapa hari, nabi menyuruh mereka berhijrah ke Yathrib berperingkat-peringkat.

16. Tahun 624 Masihi, Pertempuran Badar ( 2 H )
Pada 17 ramadhan tahun ke-2 hijrah telah tercetusnya peperangan badar yang berpunca dari sekatan yang dilakukan Nabi Muhammad keatas rombongan Quraisy yang besar menuju ke Syam untuk mengambil kembali harta rampasan yang telah di ambil oleh pihak Quraisy dari orang muslimin di Mekah satu ketika dahulu, ketua dagangan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufian membawa 950 orang tentera, 100 ekor kuda dan 700 ekor unta untuk menghadapi Nabi . Dengan kekuatan seramai 313 orang dari pihak muslimin maka peperangan tercetus di lembah Badar. Kemenangan berpihak kepada tentera muslimin
17. Tahun 625 Masihi, Pertempuran Uhud (3 H )

Apa yang menimpa Quraisy semasa di Badar sangat dirasai hingga kini, lalu dengan harta yang berbaki dengan mereka, mereka golongan Quraisy telah bertekada untuk menyusun tetera bagi memerangi tentera islam, pihak Quraisy dapat mengumpul orang-orangnya seramai 3000 orang yang turut disertai oleh Al-Ahabisy iaitu sekutu kepada bani Al-Mustholiq dan bani al-Hun bin Khazimah. Nabi mendapat berita tentang kemaraan tetera musyrikin melalui surat yang dihantar oleh bapa saudaranya Al-Abbas bin Mutalib, lalu nabi bersiap siaga mengumpul bala tentera pihak muslimin. Dengan takdir Allah kaum muslimin hamper kalah dalam pertempuran uhud ini kerana tidak mengikut arahan yang dikeluarkan nabi kepada tentera berpanah yang duduk diatas bukit uhud dari turun mengambil harta ghanimah yang ditinggalkan

18. Tahun 627 Masihi,Pertempuran Khandak-Ahzab ( 5 H )
Islam telah berkembang pesat di Madinah, dengan perkembangan Islam itu penduduk Madinah menjadi lebih kuat, kaum Yahudi tidak senang duduk, lalu mereka bercadang untuk membunuh nabi, laklu mereka menyusun langkah bertemu dengan pimpinan Quraisy di Mekah. Oleh itu Quraisy dan pengikut-pengikutnya telah membuat persiapan. Mereka diketuai oleh Abu Sufian membawa panji-panji dan bilangan mereka ialah 4000 orang, 300 ekor kuda dan 1500 ekor unta. mereka juga dibantu oleh bani-bani lain yang jumlah bilangan mereka ialah 10000 berbanding dengan tentera muslimin yang hanya sekitar 3000 orang sahaja. Tetapi dengan stratergi yang disusun oleh nabi sebagai contoh menggali parit di sekitar Madinah membuahkan kejayaaan kepada tentera muslimin dalam peperangan tersebut.

19. Tahun 628 Masihi, Perjanjian Hudaybiyah ( 6 H )
Renteten dari peperanga yang dilalui oleh kaum Quraisy mereka merasa takut dan menghantar Suhail bin Amru untuk berbincang mengenai perjanjian damai, maka termetrailah satu perjanjian damai yang dipanggil perjanjian Hudaibiyyah, antara isi perjanjian tersebut ialah :
• Gencatan senjata di antara Quraisy dan Muslimin selama 10 tahun
• Orang Quraisy yang pergi mendapatkan orang islam hendaklah dikembalikan, dan orang islam yang pergi mendapatkan orang Quraisy tidak perlu dikembalikan
• Nabi tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun ini melainkan tahun hadapan
• Sesiapa orang Quraisy yang ingin bergabung dengan nabi dibolehkan.

20. Tahun, 628 masihi pertempuran khaybar ( 7 H )
Pada tahun ini nabi mengarahkan muslimin supaya bersedia untuk menyerang orang-orang Yahudi yang tinggal di Khaibar. Nabi keluar menuju ke Khaibar setelah melantik Siba’ bin Urfuthoh al-Ghifari sebagai penggantinya di Madinah. Isteri Baginda yang turut menyertai peperangan ini ialah Ummu Salamah. Nabi yang melantik Ali bin Abu Talib mengepalai tetera muslimin berjaya mencapai kemenangan dan menawan kubu kuat kaum Yahudi.

21. Tahun 629 Masihi, Pertempuran Mu’tah ( 8 H )
Peperangan ini berlaku diatas tuntut bela keatas kematian Al-Harith bin Umar Al-Azdiyy, utusannya ke Basra. Baginda melantik Zaid bin Hariithah sebagai ketua dan berpesan : sekiranya Zaid terbunuh, maka Jakfar akan menggantinya dan sekiranya Jakfar terbunuh maka yang menggantikkannya ialah Abdullah bin Rawahah. Tentera muslimin menghadapi hentangan sengit di kerana mereka bergabung dengan bala tentera Rom yang beragama Nasrani. Ketiga-tiga pemimpin yang diutuskan nabi telah mati syahid di pertempuran mu’tah, didalam kekalutan tentera muslimin yang kehilangan pemimpin maka muncul pedang Allah iaitu Khalid al-Walid mengambil tempat sebagai ketua bagi kaum muslimin. Maka berbekalkan kemahiran yang ada padanya yang mahir dengan strategi peperangan tentera islam diberi kemenangan oleh Allah.

22. Tahun 630 Masihi, Pembukaan Kota Makkah ( 8 H )
Hasil dari perjanjian Hudaibiyyah yang telah dipersetujui bersama di antara Rasulullah dan kaum Quraisy itu dipatuhi oleh kedu-dua pihak, tidak lama kemudian nabi memerintahkan kaum muslimin untuk bersiap sedia untuk berangkat ke Mekah, seramai 10000 orang muslimin mengikut nabi ketika itu. Kaum muslimin yang berjumlah 10000 rang itu menyalakan api dipinggir khemah masing-masing. Mereka duduk di dalam khemah sambil berzikir dan bertasbih. Lalu abu sufiyan terpandang nyalaan unggun api itu dengan rasa terkejut melihat satu nyalaan yang banyak. Takkala perasaan cemas menyelubungi Abu Sufian dengan keadaan Mekah keesokan harinya lalu bertemu Abbas untuk menyatakan pendapatnya. Lalu dengan nasihat dari Abbas, Abu Sufian telah menyatakan keislamnnya.

23. Tahun 630 Masihi, Pertempuran Hunain ( 8 H )
Dengan pembukaan kota Makkah itu berkecailah kerajaan berhala, dan semua orang arab tunduk kepada Islam dan mereka memeluk Islam beramai-ramai. Tetapi terdapat dua kabilah yang masih berdegil den diresapi oleh semangat jahiliyyah iaitu Hawazin dan Thaqif. Lalu mereka mengatur rancangan untuk memerangi rasulullah dan melantik Malik bin Auf al-Nasri sebagai ketua. Apabila Rasulullah mengetahui berita tersebut seramai 12000 orang tentera keluar bersama Rasulullah, orang muslimin yang bangga dengan ramainya mereka hampir kalah dalam pertempuran ini dengan tipu muslihat yang dilakukan oleh pihak musuh. Walaupun begitu, dengan kebijaksanaan nabi menguruskan barisan tentera perang akhirnya berjaya merai kemenangan dalam peperangan tersebut.

24. Tahun 632 Masihi, Pertempuran Tabuk ( 9 H )
Peperangan yang terakhir disertai Nabi ini adalah disebabkan Rom telah mempersiapkan tentera untuk memerangi Madinah, dalam peperangan ini Nabi sendiri mengarahkan muslim yang kaya menyerahkan harta bagi membantu tentera muslimin ini kerana peperangan ini terjadi semasa keadaan yang agak susah dan tiada kelengkapan serta banyak kesulitan yang dihadapi tentera Islam. Dikhabarkan seramai 30 000 orang menyertai Nabi dalam peperangan ini, peperangan yang berlaku di Syam itu akhirnya berpihak kepada tentera Islam walaupun ia dibayar dengan harga dan pengorbanan yang tinggi oleh para sahabat. Nabi yang selama ini merahsiakan perjalanan sesuatu peperangan memberitahu perjalanan peperangan ini menggambarkan kesukaran yang dihadapi oleh tentera muslimin.

25. Tahun 632 Masihi, Haji Wada’ ( 10 H )
Pada tahun ini, Rasulullah mengerjakan haji wada’ bersama-sama orang ramai. Itulah haji selamat tinggal kepada muslimin. Itulah juga satu-satunya ibadat haji yang dilakukan oleh Rasulullah. Baginda keluar mengerjakan haji pada 5 zul qaedah dan melantik Abu Dujanah al-Anasari sebagai penggantinya di Madinah. Bilangan yang mengikuti Rasulullah mengerjakan haji menjangkau 90 000 orang. Rasulullah s.a.w berihram haji ketika manaiki tunggangannya kemudia bertabliah

26. Tahun 632 Masihi, Meninggal (8 Juni): Madinah ( 10 H )
Pada tahun ini, adalah tahun wafatnya penghulu segala anbia, waktu dhuha Baginda wafat. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 13 Rabi’al-Awwal tahun 10 H denagn usia Baginda 63 tahun 3 hari berdasarkan tahun hijrah 61 tahun 84 hari berdasarkan tahun Masihi. Sahabat yang amat merasai pemergian Baginda adalah Umar al-Khotob yang mengatakan sambil menghunuskan pedangnya , barang siap yang mengatakan Nabi wafat akan aku potong tangan dan kakinya, lalu Abu Bakar pun datang menenangkan beliau dengan mengatakan nabi benar-benar telah wafat.




PENUTUP

Daripada kronologi yang dipaparkan dapatkah kita mengetahui dengan lengkap dan terperinci berhubung dengan kehidupan insane mulai baginda Nabi Muhammad s.a.w manusia paling mulia dan teragung yang mendapat pujian dan sanjungan seluruh dunia menjadi sebutan ramai dan merupakan sauatu kepercayaan umat Islam. Beliau idola umat. Segala peristiwa dan kejadian yang dialami, bermula dari awal kelahirannya sehingga tarikh kemangkatan beliau, semuanya tercatat disini, meliputi tanah tumpah darahnya, sejarah bangsa arab sebelum kelahirannya, keturunan baginda, keajaiban yang mengiringi kelahirannya, siri-siri perjuangan belaiu, sejarah sebagai seorang pengembala, perkahwinan dan rumah tangganya, sejarah kerasulannya, sejarah pemelukan Islam pertama, tamatnya penurunan wahyu, misi dakwah, pandangan kaum Quraisy terhadap mukjizat Al-Quran, penghijrahan dan banyak lagi sehingga kemangkatan Baginda telah tercatat dilembah sejarah. Seharusnya kita mengambil iktibar dan panduan hidup berpandukan sirah yang nabi tinggalkan dalam menjalani hidup sebagai hamba dan khalifah diatas muka bumi ini.

1 comment:

  1. ASSALAMUALAIKUM W.B.T
    SEMOGA PERKONGSIAN SECEBIS ILMUINI MEMEBERI MANFAAT KEPADA KITA SEMUA

    WASSALAM

    ReplyDelete