hafiz razak

Tuesday, December 22, 2009

GERAK KERJA MESTI KOLEKTIF

KONSEP AMAL JAMAIE
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Amal Jamaie adalah di antara ciri utama Harakah Islamiyyah. Malahan, tanpanya akan hilanglah kepaduan dan keseragaman di dalam tindakan harakah. Ia mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan dengan sebarang aktiviti berkumpulan dan ianya hanya akan dapat dilakukan di dalam konteks sebuah jamaah.
Perlu diberi penekanan bahawa amal jamaie adalah satu tuntutan syari’e khususnya dalam gerakan da’wah dan perjuangan Islam seluruhnya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan” (Surah Ali Imran : 104)


HUKUM AMAL JAMAIE’
Tuntutan terhadap amal jamaie tidak seharusnya dipandang ringan dengan melihat beberapa penegasan yang telah diturunkan oleh syariat Allah sama ada melalui Al-Qur’an dan as-Sunnah serta kaedah Usul Fiqh.

1. Al-Qur’an
Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad saw supaya memberitahu manusia bahawa amal jamaie itu adalah kerja nabi dan pengikutnya. Allah telah berfirman:

Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku menyeru manusia kepada umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas dan nyata, dan aku menegaskan maha Suci Allah dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain” (Surah Yusuf : 108)
FirmanNya lagi di dalam al-Qur’an:

Maksudnya:
“Seungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh” (Surah as-Soff: 4)
2. As-Sunnah
Kita akan dapat melihat dengan jelasnya tuntutan sunnah supaya bekerja secara amal jamaie apabila kita meneliti hadith berikut:
Maksudnya: “seungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia seperti serigala kambing jua. Ia menangkap mana-mana kambing yang jauh dan terpencil. Maka kamu berjemaah dan bercampur dengan orang ramai serta menghadiri masjid”
Sabdanya lagi:
Maksudnya: “Wajiblah kamu bersama-sama dengan jamaah orang-orang muslimin dan pimpinan mereka”
3. Kaedah usul Fiqh
Kerja da’wah ini sangat besar, tidak mampu dilakukan secara individu dan tentulah ia terlebih dahulu memerlukan usaha jamaie berdasarkan kaedah fiqh:
Maksudnya: “sesuatu yang tidak sempurna yang wajib melainkan dengannya, maka ianya juga menjadi wajib”

PENGERTIAN AMAL JAMAIE
Amal jamaie dapat diertikan sebagai satu usaha secara berjemaah atau kegiatan yang lahir bersumberkan dari satu jamaah yang teratur (berorganisasi) menurut dan menepati manhaj dan skima tertentu menjurus ke arah matlamat yang tertentu.
Untuk penelitian yang lebih mendalam, perlulah dihuraikan beberapa anasir amal jamaie di dalam pengertian tersebut iaitu:

1. Amal yang diputuskan oleh jamaah
2. Jamaah yang Munazzamah (teratur)
3. Menurut manhaj yang tertentu dan kaedah-kaedah pencapainya
4. Untuk mencapai matlamat yang tertentu

1. AMAL YANG DIPUTUSKAN OLEH JAMAAH
Amal yang dimaksudkan di sini ialah semua kegiatan jamaah sama ada luaran atau dalaman. Ia akan menjadi amal apabila diputuskan oleh jamaah dan dilakukan di atas keputusan jamaah yang diberi mandat oleh jamaah untuk membuat sesuatu keputusan.
Sebahagian daripada amal jamaah di peringkat luaran ialah seperti menerbitkan sebaran am, menulis majalah atau akhbar, mengadakan perjumpaan, menziarahi orang-orang tertentu, mengadakan tunjuk perasaan (demonstrasi), mengadakan kelas pelajaran dan lain-lain yang diterima oleh syara’.

Syarat-syarat Amal Jamaie
a) Amal tersebut tidak disyaratkan kepada semua anggota jamaah agar terlibat sama, malah mencukupi dengan dilakukan oleh sebahagian daripadanya sahaja. Walaupun demikian, dalam semua keadaan amal yang dilakukan itu diputuskan oleh jamaah dan mendapat persetujuan yang jelas dari jamaah.
b) Amal yang diputuskan itu hendaklah menepati syara’. Apabila amal itu diterima syara’, maka tidak perlulah lagi dipertikaikan jenis, kadar, masa amal tersebut. Termasuk dalam amal yang disyariatkan ialah semua amal yang diharuskan oleh syariat dalam keadaan darurat atau yang diharuskan kerana rukhsah.
c) Amal yang diputuskan oleh jamaah mestilah disertakan dengan niat yang baik dan ikhlas juga dilakukan semata-mata kerana Allah.
d) Amal yang dilakukan mestilah disertakan dengan muqarabah kepada Allah, berjihad melawan nafsu agar amal tersebut tidak ditulari oleh sifat-sifat syirik dan riya’.

2. JAMAAH YANG MUNAZZAMAH (TERATUR)
Jamaah yang membuat keputusan terhadap sebarang amal jamaie itu mestilah berada dalam satu tanzim yang kemas, teratur dan berencana serta berstrategi, unsur ini merupakan suatu yang asasi dan dharuri bagi mana-mana jamaah yang mempunyai matlamat tertentu. Tanpa tanzim, jamaah tidak akan berjaya dalam gerak kerjanya.
Terdapat beberapa aspek yang perlu wujud dalam jamaah munazzamah:
a)Baiah
Iaitu janji taat setia ahli jamaah kepada pimpinan untuk taat dan hidup di atas landasan yang ditentukan oleh jamaah dalam memperjuangkan Islam. Baiah hendaklah diberikan dengan kefahaman yang jelas tentang setiap aspek jamaah dengan keyakinan yang tinggi dan disusuli dengan iltizam kepada jamaah.
b)Imarah
Kepimpinan merupakan ciri asas dalam jamaah Islam. Adanya baiah bererti adanya kepimpinan. Dalam konteks sebuah jamaah, kepimpinan mestilah dipilih oleh jamaah dan ia mampu, cekap dalam melaksanakan tugas serta amanah dalam mentadbir menurut lunas-lunas Islam.
c)Ta’at
Bai’ah adalah untuk memastikan ketaatan kepada jamaah. Pendokong dan ahli jamaah wajib mentaati pemimpin terutamanya dalam melakukan amal jamaie.
d)Musyawarah
Pemimpin bertanggungjawab menjalankan syura kerana ia adalah tuntutan syara’ bagi menjamin perkembangan jamaah berjalan dengan baik.

3. MANHAJ
Manhaj ialah metodologi atau kumpulan tindakan-tindakan atau perencanaan-perencanaan yang digunakan oleh harakah Islamiyyah untuk mencapai matlamatnya. Ia mestilah dibentuk berlandaskan kepada sumber-sumber berikut:
1. Al-Quran
2. Sunnah Rasulullah s.a.w
3. Sirah para sahabat
4. Pendapat Fuqaha’
5. Pengalaman para duat
Perlu dijelaskan di sini bahawa manhaj itu dibentuk berdasarkan kepada prinsip-prinsip berikut:
a. berusaha sedaya upaya menyelaraskannya dengan kehendak-kehendak syara’. Pencapaian matlamat yang murni hendaklah melalui jalan yang murni juga. Oleh itu, Islam tidak menerima dasar matlamat menghalalkan cara.
b. Hendaklah bersesuaian dengan kemampuan jamaah dan suasana.
c. Bersedia untuk mengalami proses ubah suai jika keadaan memerlukan.
d.Dasar beransur-ansur dalam perlaksanaan.
e. Hazar dan waspada.

4. MATLAMAT
Jamaah adalah satu wadah untuk mencapai dakwah. Amal jamaie sebagai satu program pengembelingan tenaga ke arah menjayakan aspisari perjuangan suci ini sudah tentu matlamatnya ialah untuk menegakkan Uluhiyyah Allah dengan mengajak manusia mengabdikan diri kepadaNya.

KEKUATAN ORGANISASI ISLAM

Apabila membicarakan tentang kekuatan sesebuah organisasi Islam atau jamaah, ia akan menyentuh soal asas pembinaan organisasi / jamaah tersebut dan anggota individu yang melibatkan diri di dalamnya. Setiap anggota hendaklah memberi ketaatan dan kesetian kepada pemimpin atau pemerintahan Islam yang diasaskan oleh organisasi Islam / jamaah. Mereka merasakan lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam daripada musuh (al-Maududi 1985). Kekuatan akan berupaya selagi mana asasnya masih teguh dan utuh. Faktor utama yang berhubung dengan organisasi atau jamaah ialah (Harun Taib 1991):
1. Kekuatan dari sudut tarbiyah
Ia meliputi semua ahli yang terlibat dengan organisasi Islam / Jamaah. Tumpuan utama yang menjadi perhatian dan perhitungan masyarakat ialah kepada para pemimpin jemaah. Pemimpin yang mempunyai pentarbiyahan yang sempurna akan dapat pula mentarbiyahkan ahlinya dengan baik seterusnya akan membawa kepada kekuatan jemaah itu sendiri. Tanggungjawab yang paling besar dan berat ialah memastikan tarbiyah anggota rohiyyah (kerohanian) telah sampai kepada setiap anggota jemaah. Kelemahan tarbiyah boleh mengancam dan merobohkan benteng kekuatan perjuangan Islam.
2. Meletakkan seseorang di tempat yang sesuai.
Organisasi Islam/jamaah yang kuat dan matang ialah yang mengetahui keupayaan anggotanya serta kecenderungan mereka. Berdasarkan pengenalan inilah ia memilih dan memberi tugas yang sesuai dengan kemampuan seseorang. Dari sini, seseorang yang ditugaskan itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Keadaan ini akan memantapkan lagi organisasi/jamaah tersebut. Tugas yang diberikan bersesuaian dengan kealiman, pengetahuan, pengalaman dan disiplin seseorang. Tanggungjawab kepimpinan pula mengikut kewibawaan, kewarakan, kejujuran, amanah dan berkebolehan memimpin serta mempunyai pengaruh di kalangan masyarakat. Manakala kedudukan pegawai dan pekerja-pekerja Islam lain ditentukan mengikut kebolehan, pengalaman dan kesanggupan untuk meneruskan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.
3. Mengambil berat tentang hal anggotanya.
Organisasi Islam / jamaah yang mantap ialah yang mengambil berat tentang hal ehwal anggotanya. Ini mencerminkan keperihatinan terhadap ahli. Ia akan membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul. Tindakan ini akan mengelakkan anggotanya dari meninggalkan organisasi Islam / jamaah. Ia sentiasa memastikan kebajikan ahlinya. Segala keperluan asas dalam organisasi Islam / jamaah disediakan untuk kemudahan bersama. Faktor kedua pula ialah yang berkaitan dengan anggota individu dalam sesebuah organisasi Islam / jamaah (Yakan 1987):
i. Tabie yang tetap
Seseorang anggota yang telah beriltizam dengan sesuatu organisasi Islam / jamaah itu hendaklah mengekalkan keiltizaman dan kedudukannya tanpa tergugat oleh mana-mana sebab atau situasi yang boleh menyebabkan ianya keluar dari organisasi Islam/jamaah tersebut. Jangan pula mudah terpedaya dan merajuk lantaran kerana terpengaruh dengan situasi dan persekitaran atau oleh nilai kebendaan. Sebagai pengajarannya, kita dapati para sahabat di zaman Rasulullah saw tidak sedikitpun berganjak dari kebenaran Islam walaupun terpaksa menerima berbagai ancaman dan azab yang tidak terperi. Para ulama yang memimpin organisasi Islam/jamaah tidak pernah luntur keiltizaman mereka walaupun terdapat beberapa kepincangan di dalam organisasi atau jamaah tersebut. Mereka tetap berusaha memperbaiki dan memperteguhkan kelemahan yang sedang dialami oleh organisasi/jamaah.
ii. Daya ketahanan jiwa yang tinggi
Setiap manusia tidak sukakan kejahatan dan tidak sanggup menghadapi permasalahan. Akan tetapi di dalam memperjuangkan hakikat kebenaran Islam, setiap anggota pejuang tidak boleh lari dari permasalahan. Kadang-kala permasalahan menyebabkan perasaan lemah semangat dan kabur harapannya. Oleh itu untuk mengatasi masalah ini, setiap anggota yang terlibat dengan organisasi / jamaah hendaklah mempunyai ketahanan jiwa yang kuat, berbekalkan iman dan ketakwaan kepada Allah swt. Amalan-amalan sunat, amalan-amalan mulia (Fadhail al A’mal) dan sentiasa mengingati Allah (Zikrullah) adalah perkara-perkara yang boleh membantu memperteguhkan jiwa. Anggota jamaah yang sentiasa bertaqqarub kepada Allah swt tidak boleh bersifat putus asa, lemah semangat dan putus harapan.
iii. Tidak melampau
Kemampuan anggota hendaklah dikenalpasti sendiri oleh setiap anggota tersebut. Kawalan dalam diri perlu diutamakan supaya tidak bertindak luar kemampuan atau secara emosi. Sikap melampau ini akan mengakibatkan seseorang itu mudah berputus asa dan menerima risiko yang berat. Oleh itu setiap anggota jamaah haruslah berwaspada, berhati-hati dan bersikap sederhana dalam menegakkan Islam atau memimpin organisasi/jamaah. Tuntutan Islam tidak boleh hendak dicepatkan mengatasi kemampuan ummah, kerana ia perlu kepada masa yang lama serta perjalanan yang jauh. Ini tidak bermaksud terpaksa leka atau sengaja melambat-lambatkan dan mencari alasan supaya tuntutan Islam tidak dilaksanakan. Pemimpin dan ulama hendaklah peka terhadap sikap setiap ahli. Mereka bertanggungjawab mengawasi anggota jamaah dan membuat penilaian dari semasa ke semasa agar setiap arahan dan tindakan akan diambil tidak menimbulkan reaksi buruk. Firman Allah swt:

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh) nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata ” Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang - orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)”. (Surah at-Taubah:42)

Kekuatan sesebuah organisasi / jamaah bergantung kepada pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap orang mukmin. Pengorbanan merangkumi dua skop utama iaitu pengorbanan yang dapat dinilai dan pengorbanan yang tidak dapat dinilai. Pengorbanan pertama yang dapat dinilai ialah pengorbanan masa, harta benda dan diri atau kekuatan fizikal. Pengorbanan kedua pula ialah pengorbanan nyawa, buah fikiran, budi pekerti, kasih sayang kekeluargaan, persaudaraan serta perasaan (Khurasam Murad 1987). Pengorbanan ini mestilah dibentuk dalam disiplin diri, rohani, mental, organsisasi serta sosial. Asas ini akan menjamin kestabilan dan kelancaran pertadbiran organisasi Islam / jamaah.

PENUTUP
Keperluan dan kepentingan bekerja secara amal Jamaie sebenarnya dapat dirasakan apabila menceburkan diri dalam gerak kerja di dalam harakah Islamiyyah. Teori yang tersebut di atas diharap dapat dipraktikkan dan bukan hanya bahan perbincangan intelektual semata-mata.


Wallahu ‘alam

3 comments:

  1. SALAM ZIARAH..
    SATU PERKONGSIAN YANG SUNGGUH BERMANFAAT DARI UST..
    terukan penulisan yang kritis dan proaktif ;-)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum

    Fiz, ana cadangkan nta supaya baca buku "Menuju Jamaatu Muslimin"! Buku tu ada ana bagi kat Hafizan. Kat buku tu membahas tentang kepentingan jamaah al-muslimin (khilafah) dan cara mewujudkannya kembali melalui jamaah min al-muslimin dan amal jama'i. Wallahu ta'ala a'lam

    Wassalamualaikum

    ReplyDelete
  3. WAALAIKUMMUSSALAM

    SYUKRON YA AKHI RAISUL FADHLA
    INSYAALAH ANA AKAN BC BUKU ANTA CDANGKAN TU ;-)

    ASSALAMUALAIKUM

    ReplyDelete