hafiz razak

Tuesday, March 3, 2009

Ekonomi Menurut Islam

Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap merangkumi segala aspek, termasuklah dari segi menentukan kelakuan ekonomi. Islam mempunyai nilai yang berbeza dari segi menentukan kelakuan ekonomi ini disebabkan islam itu sendiri bermaksud tunduk dan menyerah diri. Segala amalan ekonomi mestilah dirujuk pada perintah Allah s.w.t dari segi hukum halal, haram, wajib, sunat, harus dan makruh. Islam juga melengkapkan sistem ekonominya dengan ciri-ciri akhlak yang unik seperti sifat ikhlas, jujur, amanah, ihsan, sabar, takwa, tidak angkuh, tidak tamak, tidak dengki semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t., ini kerana ekonomi Islam ditegakkan berdasarkan peganagan ajaran agama terhadap kehidupan, manusia dan Allah s.w.t. Dapat ditegaskan di sini bahawa ekonomi Islam merupakan ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan kehendak syariat, dari segi memperoleh, mengguna atau mengurus sumber asli untuk kebaikan diri serta kebaikan bersama secara kebendaan dan kerohanian demi mendapat keredhaan Allah s.w.t

Muamalat merupakan perhubungan sosial yang mengandungi berbagai-bagai kegiatan ekonomi dan bukan ekonomi, dari segi hubungan dengan kegiatan ekonomi, islam mengatur kegiatan ini dengan peraturan dan prinsip yang unik, ia merupakan had-had Allah s.w.t yang barangkali dapat memberikan kelebihan sistem-sistem ekonomi Islam jika dibandingkan dengan sistem-sistem ekonomi yang lain. Ekonomi Islam dengan sendirinya melibatkan ibadat dan diberi nilai pahala jika mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan baik dari segi memenuhi tuntutan aqidah, akhlak mahupun syariat. Disamping menyentuh soal pemberian pahala yang akan dibawa di ke akhirat kelak ia juga membincangkan konsep hak milik dan kesamaan manusia yang berlandaskan konsep tauhid kepada Allah s.w.t . Konsep tauhid merangkumi hubungan antara manusia dengan penciptanya dan hubungan manusia dengan manusia. Ini dikuatkan lagi dengan konsep rububiyyah kepada Allah s.w.t sebagai penguasa yang membuat peraturan bertujuan menjaga dan menampung kehidupan mahluk kepada kesempuraan. Dalam konteks ekonomi, rububiyyah merupakan peraturan Ilahi bagi menyusun rezeki dan kegiatan ekonomi manusia demi kepentingan yang sebenar. Konsep Tazkiyyah pula memberi kesucian jiwa dan ketinggian akhlak, pembersihan harta adalah melalui zakat dan sedekah dapat memenuhi konsep rububiyyah seterusnya menjadikan pengamalnya terpaut dengan ketiga –tiga konsep yang disebut untuk melahirkan perlakuan yang mereka lakukan terutamanya dalam bidang ekonomi ini sebagai satu tuntutan Ilahi.

CIRI – CIRI EKONOMI ISLAM

Ekonomi Islam mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri berbeza dengan sistem yang diperkenalkan oleh barat yang hanya mementingkan keuntungan menjadi ciri utamanya. Al-Assal dan Abdul Karim mengemukakan dua ciri ekonomi Islam yang penting iaitu merupakan sebahagian daripada sistem kehidupan dan kedua keseimbangan antara kepentingan individu dengan masyarakat. Ciri-ciri yang terdapat dalam Islam itu juga sebenarnya menjadi ciri-ciri ekonomi Islam. Antara ciri-ciri ekonomi Islam ialah :

1. Ekonomi yang berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah

2. Ekonomi yang merupakan bahagian daripada keseluruhan sistem kehidupan Islam yang lengkap.

3. Ekonomi yang akan sentiasa menyeimbangkan kepentingan individu dan masyarakat.

4. Kegiatan ekonomi yang bersifat kebendaan tetapi masih bercorak kerohanian

5. Ekonomi yang sentiasa sesuai sepanjang zaman dan masa kerana sifatnya yang tetap dan dinamik

6. Ekonomi yang asas hukumnya ialah Al-Quran dan As-Sunnah.



No comments:

Post a Comment